Skip to main content

    Pada 26 April 2022, satu Memorandum Perjanjian (MoA) telah ditandatangani antara USM dan Wakaf Pulau Pinang yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, YB Dato’ Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, bersama Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan , Pengarah Pusat Islam dan Ketua Pegawai Eksekutif Wakaf Pulau Pinang.

    Menerusi Memorandum Perjanjian (MoA) ini maka ditubuhkan Jawatankuasa Wakaf Pengajian Tinggi USM (WPTU) bertujuan bagi mengawalselia dan meluluskan garis panduan berkenaan wakaf Universiti selaras dengan keperluan syariah, termasuk garis panduan untuk pendaftaran, kutipan, pelaburan dan agihan wakaf USM.

    Jawatankuasa Wakaf Pengajian Tinggi USM merupakan sebuah badan yang dianggotai oleh kumpulan pakar dalam bidang pentadbiran, syariah dan ekonomi daripada pihak WPP dan USM yang bertanggungjawab untuk menguruskan dan mentadbir dana Wakaf Pengajian Tinggi USM atau harta wakaf menurut syariat Islamiah dan peraturan yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP).

    WPTU diwujudkan bagi menjalankan tanggungjawab membangun dan menguruskan harta wakaf sama ada harta alih atau harta tak alih dan termasuk menjalankan promosi bagi mengutip dana wakaf dan menguruskan hal ehwal pengurusan berkaitan pelepasan cukai bagi pewakaf daripada individu dan institusi.

    Penerima Manfaat WPTU ialah warga USM yang terdiri daripada pelajar, staf, ahli Qaryah Masjid USM serta masyarakat luar USM amnya.

    Untuk maklumat lanjut, boleh menghubungi Sektor Pembangunan Masjid dan Wakaf, Pusat Islam USM di talian 046533910. Maklumat semasa berkaitan WPTU boleh didapati melalui:-

    1. Laman web rasmi https://pusatislam.usm.my/home-waqaf

    2. Facebook Page Rasmi Pusat Islam

    3. Pejabat Am Pusat Islam USM

    4. Kaunter Wakaf Masjid Al Malik Khalid USM