Skip to main content

PENGENALAN

Universiti Sains Malaysia (USM) melalui mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) ke-93 bertarikh 8 Mac 2017, telah bersetuju menubuhkan Pejabat Waqaf di Universiti Sains Malaysia.  Tujuan utama penubuhan Pejabat Waqaf pada waktu tersebut adalah memperkasakan peranan institusi waqaf di USM, seiring dengan keputusan Mesyuarat Pelaksanaan Wakaf Pendidikan Tinggi Universiti Awam pada 9 Jun 2016 yang telah membuat resolusi bersama bagi setiap universiti awam menubuhkan Majlis Zakat, Wakaf dan Infaq (MAZWIN) sebagai badan tertinggi yang menggubal dasar dan peraturan berhubung hal-ehwal pengurusan zakat, waqaf dan infaq di universiti masing-masing.

Logo PMW Lintang

Pada 21 Mac 2018, Mesyuarat JKPU ke 129 Bil.9/2018 telah meluluskan perubahan nama Pejabat Waqaf kepada Pejabat Zakat, Waqaf dan Infaq USM yang dijadikan pusat sehenti bagi menguruskan dana-dana Islam merangkumi zakat, waqaf, infaq dan lain-lain. Pejabat Zakat, Waqaf & Infaq atau singkatannya ZAWAIN bertanggungjawab menyelaras semua hal-ehwal berkaitan zakat, waqaf dan infaq secara sistematik dan profesional.

Logo UWP

Bermula tahun 2020 seiring dengan perancangan USM, Pejabat ZAWAIN telah diserapkan ke Pusat Islam USM. Pengurusan Wakaf USM diurus oleh Sektor Masjid & Wakaf Pusat Islam USM.

 

  • Wakaf ialah satu amalan dengan menyerahkan sebahagian harta dimiliki untuk dimanfaatkan oleh masyarakat bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ia memutuskan segala bentuk hak dan penguasaan pewakaf ke atas harta yang diwakafkan. Harta yang hendak diwakafkan perlu jelas pemilikannya dan juga perlulah memberi manfaat dan faedah. Begitu juga harta tersebut perlulah bersifat kekal fizikalnya.

    Dalil Pensyariatan Wakaf

    Wakaf merupakan satu amalan yang dianjurkan serta dipraktikkan sejak daripada zaman Baginda Rasulullah SAW lagi. Ia bertitik tolak daripada galakan al-Quran dan al-Sunnah agar berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan. Allah SWT menyebut betapa besarnya ganjaran bagi mereka yang membelanjakan harta untuk mendapat keredaan-Nya. Firman Allah SWT:

    مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّـهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّـهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

    Maksudnya“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.”

    (Surah al-Baqarah: 261)

    Imam Ibn Kathir dalam menjelaskan maksud ayat ini berkata: “Ini merupakan perumpamaan yang diberikan oleh Allah SWT mengenai pelipatgandaan pahala bagi orang yang menafkahkan harta kekayaannya di jalan-Nya dengan tujuan untuk mencari keredaan-Nya.” (Rujuk Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/457)

    Sebahagian ahli tafsir mengatakan ayat ini diturunkan pada menyatakan sedekah yang dilakukan oleh dua orang sahabat Nabi SAW yang agung iaitu Abd al-Rahman bin Auf dan Uthman bin Affan R.Anhuma. Akan tetapi, ayat ini juga termasuk bagi sesiapa sahaja yang mengikuti jejak langkah dua orang sahabat Nabi SAW serta membelanjakan hartanya di jalan Allah SWT. (Rujuk Tafsir al-Wasith, 1/602)

    Allah SWT juga berfirman:

    لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّـهَ بِهِ عَلِيمٌ

    Maksudnya“Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”

    (Surah Ali Imran: 92)

    Ibn Kathir menyebut, Waki’ dalam tafsirnya meriwayatkan daripada ‘Amr bin Maimun, berkata: Maksud “الْبِرّ” ialah syurga. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/73)

    Kisah Sahabat Mewakafkan Harta

    Terdapat satu kisah yang menarik berkaitan reaksi sahabat apabila diturunkan sahaja ayat di atas. Dalam satu hadis Anas bin Malik R.A, diceritakan bahawa Abu Talhah merupakan seorang sahabat Ansar yang memiliki kebun kurma yang paling banyak di Madinah. Antara kebun kurma yang paling disayanginya adalah yang terletak di Bairuha’. Apabila Allah SWT mewahyukan ayat tersebut, lantas Abu Talhah terus berkata kepada Rasulullah SAW:

    ...وَإِنَّ أَحَبَّ أَمْوَالِي إِلَيَّ بَيْرُحَاءَ وَإِنَّهَا صَدَقَةٌ لِلَّهِ أَرْجُو بِرَّهَا وَذُخْرَهَا عِنْدَ اللَّهِ فَضَعْهَا حَيْثُ أَرَاكَ اللَّهُ...

    Maksudnya“…Sesungguhnya antara harta-harta yang saya paling sayangi adalah kebun Bairuha’; Harta itu saya sedekahkan untuk Allah dan saya mengharap balasan kebaikan dan simpanan (pahala) di sisi Allah. Ya Rasulullah, silakan apa yang akan anda lakukan menurut petunjuk Allah kepadamu (terhadap kebun itu)…”

    Riwayat al-Bukhari (2769)

    Kisah ini menunjukkan betapa para sahabat begitu bersungguh-sungguh dalam berlumba-lumba melakukan kebajikan seperti bersedekah dan berwakaf bagi merebut ganjaran pahala yang besar. Perkara seperti ini juga dapat dilihat dalam kisah Saidina Umar R.A yang mewakafkan tanahnya yang bernilai tinggi di Khaibar kerana mengikut saranan Rasulullah SAW bagi tujuan mencari keredaan Allah SWT. Begitu juga dalam kisah yang masyhur, di mana Saidina Uthman bin ‘Affan R.A membeli sebuah perigi yang amat diperlukan kaum Muslimin pada ketika itu, lalu disedekahkannya untuk kegunaan orang-orang Islam di Madinah.

    Daripada kisah-kisah yang dirakamkan tersebut, jelaslah menunjukkan betapa para sahabat sangat menghayati kelebihan dan keutamaan yang diperolehi melalui amalan bersedeqah dan berwakaf. Hal ini terzahir dalam tindakan mereka dalam menyahut seruan Rasulullah SAW untuk memberikan manfaat kepada orang ramai bagi meraih ganjaran besar daripada Allah SWT. Ini kerana mereka menyedari besarnya kelebihan serta ganjaran pahala lantaran sifatnya yang berkekalan dan berpanjangan selagi mana perkara yang diwakafkan itu terus dimanfaatkan dan tidak musnah.