Membangun Ummah Madani
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat serta seluruh umat yang mengikuti jejak langkahnya hingga ke hari akhirat.
Alhamdulillah, dengan izin dan rahmat-Nya, kita dipertemukan lagi dengan tahun baru dalam takwim hijriah – suatu detik penuh makna yang mengajak kita untuk merenung, menilai dan memperbaharui tekad sebagai hamba dan khalifah Allah di muka bumi.
Hijrah bukan sekadar perubahan tempat, tetapi lambang perubahan fikiran, jiwa dan tindakan. Ia adalah titik tolak membentuk Ummah Madani – umat yang bukan hanya maju dari sudut teknologi dan akademik, tetapi juga luhur akhlaknya, tinggi integritinya, kukuh nilai rohaninya, dan menyumbang besar kepada peradaban.
Atas hasrat ini, Pusat Islam merangka wawasan serta azam baru yang merangkumi tiga tunjang penting:
1. Keseimbangan antara dunia dan akhirat. Kita ingin membentuk warga kampus yang cemerlang dalam pengajian dan penyelidikan, namun tetap teguh pada nilai agama dan akhlak.
2. Keutuhan institusi dan masyarakat. Masjid Al-Malik Khalid harus terus menjadi pusat ibadah, imarah, ilmiah dan insaniah– bukan hanya tempat solat, tetapi tempat penyatuan dan menjadi payung masyarakat
3. Tata kelola berintegriti dan profesional
Masjid perlu dilihat sebagai contoh pentadbiran yang unggul, sistematik dan mesra masyarakat, telus dan berintegriti.
Akhir kata, marilah kita semua – warga USM, ahli jemaah, mahasiswa, pensyarah, dan pentadbir – menjadikan tahun hijrah ini sebagai medan hijrah diri. Mari kita berpindah dari rutin kepada makna, dari pasif kepada proaktif, dari retorik kepada tindakan.
Semoga Allah SWT memberkati usaha kita, memperkenan doa kita, dan mengurniakan kita kekuatan untuk membina sebuah Ummah Madani yang sejahtera, progresif dan diredhai.
Sekian,