Skip to main content

    SEJARAH PENUBUHAN 

    Universiti Sains Malaysia (USM) melalui mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) ke-93 bertarikh 8 Mac 2017, telah bersetuju menubuhkan Pejabat Waqaf di Universiti Sains Malaysia.  Tujuan utama penubuhan Pejabat waqaf pada waktu tersebut adalah memperkasakan peranan institusi waqaf di USM, seiring dengan keputusan Mesyuarat Pelaksanaan Wakaf Pendidikan Tinggi Universiti Awam pada 9 Jun 2016 yang telah membuat resolusi bersama bagi setiap universiti awam menubuhkan Majlis Zakat, Wakaf dan Infaq (MAZWIN) sebagai badan tertinggi yang menggubal dasar dan peraturan berhubung hal-ehwal pengurusan zakat, waqaf dan infaq di universiti masing-masing.

      Pada 21 Mac 2018, Mesyuarat JKPU ke 129 Bil.9/2018 telah meluluskan perubahan nama Pejabat Waqaf kepada Pejabat Zakat, Waqaf dan Infaq USM yang dijadikan pusat sehenti bagi menguruskan dana-dana Islam merangkumi zakat, waqaf, infaq dan lain-lain. Pejabat Zakat, Waqaf & Infaq atau singkatannya ZAWAIN (ذَوَيْن) yang bermaksud ‘pemilik’ bertanggungjawab menyelaras semua hal-ehwal berkaitan zakat, waqaf dan infaq secara sistematik dan profesional. Seiring dengan agenda waqaf di peringkat nasional, Pejabat ZAWAIN USM tampil sebagai pemangkin terhadap visi dan misi Universiti melalui dana waqaf, zakat dan/atau infaq ilmu dan penyelidikan USM yang diharapkan mampu memberikan impak perdana terhadap pembangunan ilmu dan penyelidikan di Menara Ilmu tersohor ini.

      Tanggal pada 31 Januari 2020, Pejabat Zakat, Waqaf dan Infaq USM telah distrukturkan semula di bawah Pusat Islam USM. Kini pejabat tersebut telah dijelmakan semula dengan identitinya yang baharu iaitu  Sektor Zakat, Kecemerlangan Perkhidmatan & Korporat Pusat Islam USM. Sektor ini digerakkan oleh seorang Pegawai dan 8 orang Staf pelaksana keseluruhan kampus merangkumi kampus induk & IPPT, kampus kejuruteraan dan kampus kesihatan serta telah menjalankan operasinya dalam skop yang merangkumi hal ehwal zakat pelajar, perkhidmatan Pusat Islam USM dan Koperasi yang telah mendapatkan sijil pengesahannya pada 5 Ogos 2020.

    Manakala Waqaf pula telah diselaraskan di bawah Sektor Masjid dan Masyarakat dengan identitinya yang baharu iaitu  Sektor Pembangunan Masjid & Waqaf Pusat Islam USM. Pusat Islam USM komited untuk melaksanakan pelan strategik dan hala tuju yang mantap ke arah merealisasikan hasrat dan matlamat sesuai dengan peranannya sebagai satu-satunya Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang diamanahkan untuk menguruskan hal ehwal Keagamaan di Universiti Sains Malaysia.