MAJLIS SAMBUTAN AWAL MUHARRAM 1447H

Pada 26 Jun 2025 (Khamis), Masjid Al-Malik Khalid telah menganjurkan Majlis Sambutan Awal Muharram bertemakan “Membangun Ummah Madani”. Majlis berlangsung dari jam 6.30 petang hingga 9.30 malam dengan penglibatan warga kampus serta masyarakat setempat.
Program dimulakan dengan bacaan Surah Yaasin dan doa akhir tahun 1446H, diikuti solat Maghrib berjemaah. Seterusnya, hadirin bersama-sama mengaminkan bacaan doa awal tahun 1447H sebelum mendengar amanat awal tahun yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Islam USM, Ustaz Zayd Zhari.
Acara diteruskan dengan forum khas sempena Awal Muharram yang dikendalikan oleh moderator Ustaz Yusof Yaacob dengan panel jemputan, Ustaz Fazrul Ismail. Forum ini memberi pencerahan tentang peranan ummah dalam membina masyarakat madani berteraskan nilai Islam.
Majlis diakhiri dengan solat Isya’ berjemaah dan jamuan ringan bersama para jemaah. Secara keseluruhan, program ini berjaya menghidupkan semangat hijrah dalam kalangan peserta serta memperkukuh ukhuwah sesama warga kampus dan komuniti.


