BILIK TETAMU

Bilik Tetamu Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) menyediakan perkhidmatan penginapan kepada orang ramai yang berkunjung ke kampus atas urusan rasmi atau peribadi. Terdapat enam buah bilik berkonsepkan minimalis, masing-masing boleh memuatkan dua orang tetamu. Antara kemudahan yang disediakan termasuklah bilik berhawa dingin, bilik air, peti sejuk, televisyen dan kemudahan asas yang lain.
Bilik tetamu ini terletak dalam kawasan Masjid USM, berhampiran pintu masuk utama Sungai Dua. Kawasan sekitarnya turut dilengkapi pelbagai kemudahan seperti mesin ATM, kedai makan, pasar mini dan kedai dobi yang terletak di luar pagar kampus.
Tempahan Bilik Tetamu dibuka kepada orang awam, namun keutamaan diberikan kepada warga USM dan anak qaryah. Kadar sewaan yang dikenakan adalah RM70.00 bagi bilik biasa dan RM80.00 bagi bilik besar. Dengan kadar yang berpatutan, bilik tetamu sering kali penuh terutama semasa berlangsungnya acara utama USM dan sambutan hari kebesaran Islam. Warga kampus cawangan USM juga mengambil kesempatan untuk menginap di sini apabila perlu menghadiri urusan di kampus induk.

Untuk membuat tempahan, sila hubungi Pejabat Am Pusat Islam USM di talian 04-6533910 / 04-6533753. Bayaran sewa perlu dibuat secara atas talian ke akaun Universiti Sains Malaysia 98986101400690 (CIMB).
Bukti pembayaran perlu diserahkan ke Pejabat Am Pusat Islam sebelum mengambil kunci bilik. Waktu daftar masuk (check-in) ialah pada jam 3.00 petang (Isnin-Khamis) dan 3.30 petang (Jumaat), manakala waktu daftar keluar (check-out) ialah pada jam 12.00 tengahari.
DEWAN MUZAKARAH

Dewan Muzakarah merupakan salah satu kemudahan utama di bawah pengurusan Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM). Ia merupakan sebuah dewan tertutup yang berhawa dingin, direka khas bagi menyokong pelaksanaan program berteraskan ilmu dan pembangunan insan seperti seminar, bengkel, kuliah, kursus dan sesi pengajian berkala.

Dengan kapasiti tempat duduk sehingga 70 hingga 80 orang pada satu masa, dewan ini dilengkapi kemudahan sokongan seperti sistem siaraya, projektor, papan putih, kerusi, meja serta sistem pencahayaan dan pengudaraan yang selesa. Dewan ini turut digunakan bagi pelaksanaan Kelas al-Quran Dewasa dan Program Persijilan Pengajian Islam anjuran Pusat Islam USM.
Warga pelajar USM juga berpeluang menggunakan dewan ini secara percuma melalui permohonan rasmi kepada pihak pengurusan, tertakluk kepada kelulusan dan ketersediaan.
Sebarang pertanyaan atau permohonan berkaitan penggunaan Dewan Muzakarah boleh dikemukakan kepada:
Pusat Islam Universiti Sains Malaysia
Telefon: 04-653 3884
BILIK JAMUAN

Bilik Jamuan Pusat Islam Universiti Sains Malaysia (USM) disediakan sebagai ruang khas bagi penganjuran majlis jamuan dalam skala kecil hingga sederhana. Terletak berhampiran Dewan Muzakarah dan kawasan utama Masjid USM, bilik ini sesuai digunakan untuk pelbagai jenis majlis seperti jamuan rasmi, kenduri kesyukuran, pertemuan komuniti, dan majlis penutup program.
Reka bentuk dalaman bilik ini menampilkan suasana yang selesa dan teratur, lengkap dengan kemudahan asas seperti penghawa dingin, meja jamuan, kerusi, sinki basuhan, serta akses mudah ke tandas dan ruang parkir. Pengguna juga boleh menyusun atur ruang mengikut keperluan program masing-masing.
Kapasiti maksimum bilik ini ialah sekitar 40–50 orang tetamu pada satu masa, bergantung kepada susun atur meja dan kerusi. Ruang ini kerap digunakan bersama program yang berlangsung di Dewan Muzakarah atau Masjid USM, menjadikan ia lokasi yang strategik dan praktikal untuk pelbagai jenis majlis.
Kadar sewaan adalah tertakluk kepada jenis penggunaan dan tempoh masa. Keutamaan tempahan diberikan kepada warga USM dan pihak yang berurusan secara rasmi dengan Pusat Islam.
BILIK PENGURUSAN JENAZAH
Perkhidmatan Pengurusan Jenazah Masjid Al-Malik Khalid merupakan salah satu inisiatif khidmat komuniti yang diuruskan oleh Pusat Islam USM dalam menunaikan tanggungjawab fardu kifayah kepada warga kampus dan masyarakat sekeliling. Perkhidmatan ini meliputi keseluruhan proses pengurusan jenazah bermula daripada penyerahan jenazah oleh hospital atau waris, proses memandikan dan mengafankan, sehinggalah kepada penghantaran dan pengurusan pengebumian.
Perkhidmatan ini diwujudkan bagi memudahkan urusan waris serta memastikan pengurusan kematian dapat dilaksanakan dengan tertib, sempurna dan mengikut syarak. Ia disediakan kepada seluruh warga kampus USM termasuk staf, pelajar, ahli keluarga terdekat serta anak qaryah Masjid Al-Malik Khalid.
Sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial dan kebajikan, keseluruhan perkhidmatan ini ditawarkan secara percuma kepada penerima manfaat melalui dana Tabung Kebajikan Masjid Al-Malik Khalid. Sumbangan daripada tabung ini membolehkan pihak masjid menanggung sepenuhnya kos pengurusan jenazah sekali gus meringankan beban waris yang berhadapan dengan saat kehilangan.
Fasiliti dan Perkhidmatan Disediakan:
-
Bilik Pengurusan Jenazah
-
Kemudahan Mandi dan Kafan
-
Pembuatan dan Penyediaan Keranda
-
Kenderaan Pengangkutan Jenazah
-
Ruang Meletakkan Jenazah
-
Penghantaran Jenazah ke Lokasi Pengebumian
-
Bantuan Urusan di Tanah Perkuburan
Perkhidmatan ini tersedia 24 jam sehari. Permohonan boleh dibuat dengan menghubungi terus Pusat Islam USM atau melalui pegawai yang ditugaskan untuk pengurusan jenazah.
