- MASJID AL-MALIK KHALID USM
- AKADEMI BAITUL HIKMAH
- INSTITUT PENDIDIKAN QURRATU AIN (IQRA’)
- ZAKAT PUSAT ISLAM USM
- WAKAF PENGAJIAN TINGGI USM
- TABUNG INFAQ AM
-
MASJID AL-MALIK KHALID USM
Masjid Al-Malik Khalid Pusat Islam USM dirasmikan pada 2 September 1983 dan menjadi mercu agama Islam di kampus induk Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang. Selain berfungsi sebagai masjid institusi, Masjid USM juga diiktiraf sebagai masjid kariah oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang dan bertanggungjawab mengurus keperluan anak kariahnya.
Aktiviti rutin Masjid USM merangkumi pengurusan ibadah solat fardhu lima waktu setiap hari, solat Jumaat, solat sunat Hari Raya. Selain itu, Masjid USM menyediakan kuliah pengajian agama setiap hari bekerja selepas solat Maghrib dan selepas solat Subuh pada hujung minggu. Masjid juga menganjurkan program ceramah dan jamuan kesyukuran bersempena hari-hari kebesaran Islam dan program khas Ramadhan dan korban setiap tahun.
Antara kemudahan yang terdapat di Masjid USM ialah ruang solat yang boleh memuatkan 3,000 orang dalam satu masa. Terdapat juga ruang wudhu’ lelaki dan wanita, laluan OKU, bilik pengurusan jenazah, bilik air dan kawasan parkir yang luas. Terdapat juga ruang aktiviti ekonomi di luar masjid dan ruang serbaguna.
Masjid Medan Kebajikan
Antara bentuk sumbangan yang disediakan oleh pihak Masjid USM ialah khairat kematian (khas untuk anak kariah dan warga USM), sumbangan kecemasan, tajaan aktiviti, tabung khas, sumbangan kit MaidaturRahman (makanan asas), kit MR ready to eat, sumbangan back to school dan sumbangan pendidikan (anak qaryah). Untuk memohon sumbangan daripada Masjid USM, borang permohonan boleh didapati di Pejabat Am Pusat Islam USM. Pemohon perlu mendapatkan pengesahan dan sokongan sebelum dihantar semula untuk kelulusan sumbangan.
Masjid USM juga membuka kepada warga USM dan kariah untuk membuat pinjaman peralatan masjid untuk aktiviti ibadah dan sosial seperti tikar gulung, sejadah, kain telekung, mashaf al-Quran dan surah Yasin. Selain itu terdapat juga peralatan-peralatan lain yang boleh dipinjam bergantung keperluan dan kelulusan pihak Masjid.
-
AKADEMI BAITUL HIKMAH
Akademi Baitul Hikmah ditubuhkan melalui falsafah IQRA' (Bacalah) dalam iklim kegemilangan tamadun ilmu sebagai elemen asas pembentukan khaira ummah yang menjunjung tinggi disiplin ilmu-ilmu al-wahyu. Bertemakan Memperkasa Peradaban Intelektual Muslim, Akademi Baitul Hikmah menjulang budaya tamadun ilmu dalam masyarakat yang berkemahiran dalam disiplin ilmu-ilmu al-wahyu dan berkeyakinan mengamalkan dan menyampaikan ilmu sebagai pemangkin membina kegemilangan tamadun ummah.
-
INSTITUT PENDIDIKAN QURRATU AIN (IQRA’)
Institut Pendidikan Qurratu Ain (IQRA’) merupakan satu badan korporat dalam membantu Sektor Pendidikan Dan Kesejahteraan Keluarga Pusat Islam bagi menjayakan Misi dan Visi ke arah melahirkan
tenaga pengajar dan pengasuh yang berBAKAT. Oleh yang demikian, Institut ini juga turut menawarkan program yang bersesuaian kepada para pendidik dan pengasuh khususnya kepada guru-guru dan pengasuh yang berkhidmat di Pusat Islam dan amnya kepada warga Universiti Sains Malaysia dan masyarakat setempat. Selain itu, terdapat juga program-program yang ditawarkan untuk para pelajar bagi menambah ilmu dan kafahaman yang bersesuaian pada masa cuti sekolah berlangsung.PROGRAM-PROGRAM YANG DIJALANKAN & PERANCANGAN
BENGKEL PEMBANGUNAN MODUL PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
KURSUS PEMANTAPAN QIRAATI
KURSUS SIMULASI HAJI CILIK
KURSUS PEMANTAPAN JAWI DAN KAEDAH PENULISAN
KURSUS LATIHAN KEBAKARAN
KURSUS TEKNIK PENGAJARAN YANG BERKESAN
KURSUS “ANAK SUSAH BELAJAR” BAGAIMANA ANDA MENGATASINYA ?
KURSUS TEMATIK
KURSUS PENGENDALIAN MAKANAN
KEM BESTARI SOLAT
KEM PENGUKUHAN FARDHU AIN
KURSUS ASUHAN DAN PENTADBIRAN TASKA
-
ZAKAT PUSAT ISLAM USM
Tanggal pada 31 Januari 2020, Pejabat Zakat, Waqaf dan Infaq USM telah distrukturkan semula di bawah Pusat Islam USM. Kini pejabat tersebut telah dijelmakan semula dengan identitinya yang baharu iaitu Sektor Zakat, Kecemerlangan Perkhidmatan & Korporat Pusat Islam USM. Sektor ini digerakkan oleh seorang pegawai dan tiga orang staf pelaksana serta telah menjalankan operasinya dalam skop yang merangkumi hal ehwal zakat pelajar, perkhidmatan Pusat Islam USM dan koperasi yang telah mendapatkan sijil pengesahannya pada 5 Ogos 2020.
Zakat Pusat Islam USM (ZPIUSM) ditubuhkan bagi memperkasakan pengurusan zakat USM. Melalui kerjasama dengan Zakat Pulau Pinang, Zakat Pusat Islam USM memberi manfaat kepada warga USM terutama dalam aspek kewangan dengan menyalurkan bantuan kepada warga USM yang kurang berkemampuan dalam empat golongan asnaf iaitu fakir, miskin, fi sabilillah dan mualaf. ZPIUSM juga menjalankan aktiviti dakwah dan promosi bagi meningkatkan kesedaran umat Islam tentang berzakat. Selain itu, pelbagai skim diperkenalkan bagi meningkatkan modal insan dalam menjaga kebajikan warga USM.
-
WAKAF PENGAJIAN TINGGI USM
Pada 26 April 2022, satu Memorandum Perjanjian (MoA) telah ditandatangani antara USM dan Wakaf Pulau Pinang yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, YB Dato’ Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, bersama Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan , Pengarah Pusat Islam dan Ketua Pegawai Eksekutif Wakaf Pulau Pinang. Menerusi Memorandum Perjanjian (MoA) ini maka ditubuhkan Jawatankuasa Wakaf Pengajian Tinggi USM (WPTU) bertujuan bagi mengawalselia dan meluluskan garis panduan berkenaan wakaf Universiti selaras dengan keperluan syariah, termasuk garis panduan untuk pendaftaran, kutipan, pelaburan dan agihan wakaf USM.
Jawatankuasa Wakaf Pengajian Tinggi USM merupakan sebuah badan yang dianggotai oleh kumpulan pakar dalam bidang pentadbiran, syariah dan ekonomi daripada pihak WPP dan USM yang
bertanggungjawab untuk menguruskan dan mentadbir dana Wakaf Pengajian Tinggi USM atau harta wakaf menurut syariat Islamiah dan peraturan yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP).WPTU diwujudkan bagi menjalankan tanggungjawab membangun dan menguruskan harta wakaf sama ada harta alih atau harta tak alih dan termasuk menjalankan promosi bagi mengutip dana wakaf dan menguruskan hal ehwal pengurusan berkaitan pelepasan cukai bagi pewakaf daripada individu dan institusi. Penerima Manfaat WPTU ialah warga USM yang terdiri daripada pelajar, staf, ahli Qaryah Masjid USM serta masyarakat luar USM amnya.
-
TABUNG INFAQ AM
Penggunaan wang daripada Infaq Am USM adalah untuk menjalankan aktiviti-aktiviti yang akan memberi manfaat kepada para pelajar, staf serta warga USM keseluruhannya, seperti menaiktaraf surau-surau di PTJ agar lebih selesa dan terurus. Menaiktaraf ruang-ruang pembelajaran (learning space) yang lebih kondusif, dewan kuliah, fasiliti, sumbangan kebajikan pelajar dan lain-lain kemudahan yang memberikan manfaat dan keterlibatan pelajar-pelajar USM. Selain itu, dana yang terkumpul akan dapat digunakan untuk perkembangan ilmu serta syiar Islam bagi memperkasakan jati diri dan mempertingkatkan penguasaan ilmu agama kepada pelajar- pelajar Islam Universiti Sains Malaysia.