Pengenalan
Universiti Sains Malaysia (USM) melalui mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) ke-93 bertarikh 8 Mac 2017, telah bersetuju menubuhkan Pejabat Waqaf di Universiti Sains Malaysia. Tujuan utama penubuhan Pejabat Waqaf pada waktu tersebut adalah memperkasakan peranan institusi waqaf di USM, seiring dengan keputusan Mesyuarat Pelaksanaan Wakaf Pendidikan Tinggi Universiti Awam pada 9 Jun 2016 yang telah membuat resolusi bersama bagi setiap universiti awam menubuhkan Majlis Zakat, Wakaf dan Infaq (MAZWIN) sebagai badan tertinggi yang menggubal dasar dan peraturan berhubung hal-ehwal pengurusan zakat, waqaf dan infaq di universiti masing-masing.
Pada 21 Mac 2018, Mesyuarat JKPU ke 129 Bil.9/2018 telah meluluskan perubahan nama Pejabat Waqaf kepada Pejabat Zakat, Waqaf dan Infaq USM yang dijadikan pusat sehenti bagi menguruskan dana-dana Islam merangkumi zakat, waqaf, infaq dan lain-lain. Pejabat Zakat, Waqaf & Infaq atau singkatannya ZAWAIN bertanggungjawab menyelaras semua hal-ehwal berkaitan zakat, waqaf dan infaq secara sistematik dan profesional.
Bermula tahun 2020 seiring dengan perancangan USM, Pejabat ZAWAIN telah diserapkan ke Pusat Islam USM. Pengurusan Wakaf USM diurus oleh Sektor Masjid & Wakaf Pusat Islam USM.