Sejarah
Sejarah
Rancangan untuk membina sebuah Balai Islam di kampus USM Pulau Pinang telah mula dibincangkan pada akhir tahun 1972. Berikutnya pada awal 1973, satu memorandum tentang cadangan tersebut telah dikemukakan kepada Naib Canselor USM yang pertama iaitu Tan Sri Hamdan Sheikh Tahir. Dalam hal ini, peranan besar telah dimainkan oleh Persatuan Mahasiswa Islam USM. Menurut cadangan yangt dibuat Balai Islam yang dibina kelak akan didirakan atas konsep masjid yang pernah diasaskan oleh Rasulullah S.A.W. Hal ini bermakna penggunaan masjid itu haruslah diperluaskan bagi memenuhi kedudukannya yang sebenar sebagai sebuah pusat ibadah, pendidikan, pertemuan dan sebagainya.
Sehubungan dengan hasrat tersebut, maka USM pun mengemukakan rancangannya kepada kerajaan Malaysia. Lanjutan itu, Tun Haji Abdul Razak Datuk Husain, Perdana Menteri Malaysia ke-2 telah bersetuju untuk menjadi penaung pada rancangan tersebut. Persetujuan ini telah dinyatakan olehnya dalam sepucuk surat bertarikh 10 Januari 1973. Sejajar dengan itu, rancangan ini telah dimasukkan ke dalam pelan raksasa dan peruntukannya dipohon daripada rancangan Malaysia ke-2 yang berjumlah RM 350,000.
Walaubagaimanapun, projek ini hanya mendapat perhatian serius pada tahun 1977 setelah Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-4. Di USM , perubahan kepimpinan turut berlaku apabila Tan Sri Hamdan Sheikh Tahir dilantik sebagai Naib Canselor USM yang Ke-2. Sebaik sahaja dilantik, beliau memberikan tumpuan pada projek ini. Usaha untuk memperoleh bantuan dana kewangan daripada Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi giat dijalankan. Sheikh Abdul Rahman Ghannam al-Ghannam yang bertugas di Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur berjaya mendapat bantuan kewangan 1.5 juta daripada Kerajaan Arab Saudi untuk disalurkan kepada projek ini.
Pusat Islam USM pada asalnya hanya merupakan sebuah unit keagamaan kerohanian di bawah Hal Ehwal Pelajar (HEP).Sebagai unit yang bertanggungjawab hal ehwal keagamaan maka ia sentiasa menjadi rujukan semua pihak khasnya dan warga USM. Malah, unit ini telah menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak seperti Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP), Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) dan pelbagai agensi pelaksana Islam sama ada yang bernaung di bawah pentadbiran kerajaan ataupun (NGO). Apabila USM berkembang pelajar dan kakitangannya turut bertambah. Justeru, peranan unit ini berkembang kerananya pula tidak hanya terhad pada hal ehwal keagamaan malah merangkumi aspek kebajikan, kemasyarakatan, pendidikan,dakwah dan kesenian.
Pada tahun 1981, unit ini beroperqasi di bangunan Pusat Kesihatan bersama-sama Unit Kaunseling Pelajar. Kegiatan agama dan kerohanian seperti solat, kuliah, dan maslis pengajian dilaksanakan di surau Desasiwa Cahaya. Menyedari hakikat ini pihak USM di bawah pentadbiran Y.Bhg Datuk Musa Mohamad, Naib Canselor ketika itu, telah mengasingkan unit ini daripada (HEP) dan menaikkan taraf sebagai sebuah Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang berada secara langsung di bawah pentadbiran Naib Canselor USM.