SYAWAL SYUKUR SELALU

 

USM Pulau Pinang, 21 Jun 2019 – Bertemakan Syawal Syukur Selalu, jamuan hari raya di perkarangan Masjid al-Malik Khalid dibanjiri oleh lebih 1000 warga USM Pulau Pinang dan masyarakat sekitar pada 20 Jun 2019 bersamaan 16 Syawal 1440H.

 

 

Majlis disambut penuh kesyukuran apabila orang ramai menerima pengisian daripada penceramah jemputan Ustaz Suhaizi Al-Madadi yang mengulas tentang sifat orang yang kufur akan nikmat diberikan Allah S.W.T kepada hamba-Nya.

 

Sebagai orang yang beriman, kita haruslah cakna akan kekuasaan-Nya yang berkuasa menarik semula nikmat yang telah diberikan. Disamping itu, beliau juga turut menggalakkan orang ramai untuk memupuk sifat suka memberi kerana bukan semua rezeki itu milik kita sendiri. Ceramah disampaikan secara santai sambil berganti dengan alunan qasidah dari beliau menjadikan sesi tazkirah bertambah lebih menarik.

 

 

Warga Pusat Islam turut membanting tulang menyiapkan persiapan jamuan raya dengan juadah yang menyelerakan seperti Nasi Beriyani Ayam, Ayam Masak Beriyani, ketupat dan lemang, laksa Penang, Apam Lenggang dan juga minuman sejuk serta Teh Tarik. Segala persiapan dilakukan dengan rapi bermula dari awal pagi hari.

 

 

Selain kaum muslim, sambutan raya juga turut dihadiri oleh masyarakat bukan Islam selaras dengan objektif program untuk mengeratkan silaturrahim antara warga USM dan mementingkan kesatuan masyarakat tanpa melihat kepada perbezaan bangsa dan agama. Majlis Jamuan Hari Raya merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Pusat Islam Universiti Sains Malaysia.

 

 

Catatan : Iman Binti Md Yusof & Nurhaiqal Ehwan Bin Mohd Hanlawari                                 

Foto: Mohd Yusof Bin Bakar

Pin It