MASJID AL-MALIK KHALID BANGUN PUSAT KHIDMAT QARYAH

PULAU PINANG, 21 November 2016 – Perbezaan suasana antara universiti dan masyarakat sekitar serta kurangnya mekanisme menyeluruh yang menghubungkan masjid dan anak qaryah dikenal pasti sebagai salah satu punca yang menyebabkan permasalahan masyarakat tidak dapat diurus dengan baik. Atas sebab itu, program-program pendekatan masjid-anak qaryah perlu diperkasakan dengan mewujudkan satu pusat khidmat qaryah. Demikian menurut Ustaz Zayd Zhari, Ketua Unit Keagamaan & Pembangunan Komuniti Pusat Islam USM.

Beliau yang juga merupakan Setiausaha Qaryah Masjid Al-Malik Khalid USM berucap dalam majlis perasmian siri kedua program "Tuisyen Bersamamu: Mahasiswa Kepada Masyarakat" anjuran Persatuan Mahasiswa Islam USM (PMIUSM) dengan kerjasama Pusat Islam USM dan JKKK Sungai Dua.  Program tersebut telah dirasmikan oleh Profesor Md Roslan Hashim, Penasihat PMIUSM. Dalam ucapan perasmian, beliau menekankan kepentingan ilmu bagi membasmi kejahilan dalam kalangan masyarakat. Masyarakat yang berilmu tidak akan tunduk dalam keadaan yang daif malah bangkit membela nasib anak bangsa yang berjaya.

tuisyen bersamamu 1

Program tusyen ini, pengambilan pelajar adalah terhad kepada pelajar-pelajar Tingkatan 1, 2 dan 3 sahaja. Program akan dijalankan setiap hari Isnin dan Rabu jam 8.00-10.00 malam di Dewan JKKK Taman Permai Indah, Sungai Dua. Seramai 20 orang mahasiswa USM terlibat dalam program tersebut yang akan berterusan sepanjang Semester 2016-2017.

Pengerusi JKKK Sungai Dua, En. Ishak Mat di dalam ucapan beliau menyatakan rasa berbesar hati atas sumbangan PMIUSM dan Pusat Islam dalam membantu anak qaryah. Beliau juga menekankan aspek-aspek disiplin dari kalangan pelajar serta keprihatinan ibu bapa dalam memelihara keberlangsungan program dengan baik.

Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah Pengerusi Qaryah Masjid al-Malik Khalid, Profesor Madya Dr. Sofri Yahya.

tuisyen bersamamu 2

Pin It