MAJLIS SAMBUTAN HILAL RAMADAN DAN PELANCARAN AKTIVITI RAMADAN 1437

PULAU PINANG, 12 Mei 2016 - Majlis Sambutan Hilal Ramadan dan Pelancaran Aktiviti Ramadan 1437 Peringkat Universiti Sains Malaysia (USM) yang diadakan di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) USM berjaya menarik kehadiran luar biasa apabila lebih 2,000 orang memenuhi DTSP. Ramai dalam kalangan warga staf dan masyarakat sekitar termasuk pelajar-pelajar sekolah tidak melepaskan peluang untuk mendengar persembahan bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang disampaikan oleh Ustazah Sharifah Khasif Fadzilah Syed Badiuzzaman al-Yahya.

hilal 2 DTSP

Program ini kali ini juga menampilkan Ustaz Ebit Lew selaku penceramah undangan yang banyak berkongsi pengalaman hidup beliau selaku saudara baru yang kini aktif dalam dunia dakwah dan penerbitan. Perasmian program telah disempurnakan oleh Y. Bhg. Profesor Dr. Abd Aziz Tajuddin, Pendaftar Universiti Sains Malaysia.  

hilal 7

Sebelum itu, Y. Bhg. Dato’ Profesor Muhammad Idiris Salleh, Pengarah Pusat Islam USM, dalam ucapan alu-aluannya menyeru warga kampus untuk menghulurkan apa jua sumbangan yang termampu. Beliau yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Aktiviti Ramadan 1437 turut mengalu-alukan staf USM untuk tampil membuat potongan gaji secara bulanan.

hilal 1

Semasa berucap merasmikan program ini, Y. Bhg. Profesor Dr. Abd Aziz Tajuddin, Pendaftar Universiti Sains Malaysia menegaskan bahawa generasi salaf tidak pernah lesu dalam mengharungi madrasah Ramadan, sebaliknya mereka menjadikan ketibaan bulan Ramadan sebagai sumber kekuatan dan inspirasi untuk menghasilkan sesuatu yang luar biasa dan kekal relevan sehingga hari ini. Justeru, alangkah bertuahnya sesebuah institusi jika kakitangannya mampu berbuat demikian dengan menjadikan bulan kemuliaan ini sebagai wadah dan saluran mendidik peribadi agar menjadi kakitangan yang tekun dalam menggalaskan amanah, seterusnya memacu Universiti ini ke langit globalisasi dan antarabangsa."

hilal 3

Pada program tersebut dua orang wakil penerima sumbangan Ramadan telah menerima sumbangan Ramadan. Pada majlis yang sama, Y. Bhg. Profesor Dr. Abd Aziz Tajuddin, Pendaftar Universiti Sains Malaysia yang mewakili Naib Canselor USM, Y. Bhg. Profesor Omar Osman turut sudi menyempurnakan gimik pelancaran Tabung Aktiviti Ramadan.

hilal 5

Program diakhiri dengan persembahan dua buah lagu daripada Ustazah Sharifah Khasif Fadzilah Syed Badiuzzaman al-Yahya. Pihak penganjur juga mengedarkan pemberian Taqwin Waktu Berbuka dan Waktu Solat kepada semua hadirin yang hadir. 

hilal 9

Pin It