Majlis Sambutan Maal Hijrah dan Maulidur Rasul 1441H peringkat USM

 

31 Oktober 2019 bersamaan 3 Rabiulawal 1441H - Majlis Sambutan Maal Hijrah dan Maulidur Rasul 1441H peringkat USM telah berlangsung dengan jayanya pada Khamis lalu di Auditorium Dewan Budaya Universiti Sains Malaysia Kampus Induk. Program ini dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato' Ir. Hj. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang dengan kehadiran YBrs. Profesor Dr. Faisal Rafiq bin Mahamd Adikan, Naib Canselor USM, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria, Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Ustaz Mohammad Shukri Osman, Pengarah Pusat Islam USM serta jemputan yang terdiri daripada ketua-ketua jabatan, kakitangan USM, pelajar serta anak qaryah Masjid Al Malik Khalid USM.

Majlis pada kali ini amat bermakna kerana dianjurkan bersama Pejabat Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang yang telah memberikan kerjasama yang jitu dan bersepadu.

Pada kali ini, Pusat Islam USM membuat sedikit kelainan iaitu Sambutan Maal Hijrah dan Maulidur Rasul 1441 disambut dalam satu majlis yang sama. Walaupun awal Muharram telah berlalu, namun tidaklah sama sekali mengurangkan roh dan falsafah hijrah yang sentiasa perlu dihayati di dalam setiap diri kita.

Projek Wakaf Karpet Masjid Al Malik Khalid USM
Semasa program ini berlangsung, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang telah menjayakan Projek Wakaf Karpet Masjid Al Malik Khalid USM sebagai usaha untuk menggantikan karpet sedia ada untuk keselesaan para jemaah untuk menjalani ibadah. Dana yang diperlukan adalah sebanyak RM700,000.00

Penerima-Penerima Anugerah Maal Hijrah
YBhg. Dato' Profesor Emeritus Dr. Muhammad Idiris Bin Saleh, mantan Timbalan Naib Canselor USM dan juga mantan Pengarah Pusat Islam USM telah diangkat sebagai penerima Tokoh Maal Hijrah bagi tahun 1441H manakala Tuan Hj. Ustaz Md Yusof Bin Abdul Rahim, mantan Timbalan Pengarah Pusat Islam USM telah diangkat sebagai Tokoh Dakwah bagi tahun 1441H ini.

Prof. Madya Dr. Mohd Nizam Bin Sahad dari Pusat Pengajian Ilmu Kemanusian USM, Profesor Dr. Ahmad Fauzi Bin Mohd Nor dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan Dan Sumber Mineral serta Prof. Madya Dr. Hj. Wan Nudri Bin Wan Daud dari Pusat Pengajian Sains Kesihatan telah dianugerah sebagai penerima Anugerah Kemerlangan Maal Hijrah (Akademik).

Bagi aAnugerah Kecemerlangan Maal Hijrah (Pengurusan & Profesional) dianugerahkan kepada Encik Mohd Nazir Bin Narsan dari Jabatan Keselamatan (Induk), Encik Zulkifli Bin Che Hussin dari Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni Kampus (Induk) dan Encik Mohammad Najhan Bin Awang dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa (Kampus Kejuruteraan).

Tiga orang turut terpilih sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Maal Hijrah (Sokongan) iaitu Encik Mohamad Shafiee Bin Ibrahim dari Jabatan Pembangunan Dan Pengurusan Aset (Induk), Encik Abd Latiff Bin Abdul Rahman dari Jabatan Pembangunan Dan Pengurusan Aset (Kampus Kejuruteraan) dan Puan Salmiah Binti Saad dari Institut Perubatan Dan Pergigian Termaju (IPPT) USM.

Masjid Al Malik Khalid, Pusat Islam USM turut memberi pengiktirafan kepada insan-insan yang telah banyak berjasa untuk menjayakan pelbagai aktiviti dakwah dan kesejahteraan ummah kepada 13 orang dalam kalangan anak qaryah, bekas staf dan juga staf USM dari seluruh kampus.

Seterusnya, tidak lengkap majlis ini tanpa penyampaian ceramah dari ugamawan tersohor. Universiti Sains Malaysia berasa sangat bertuah kerana pada kali ini, Tuan Syeikh Dr. Mustafa Al-Bugha seorang ulama masyur dari Syria telah sudi meluangkan sedikit masa untuk memberikan ucapan dakwah dan pesanan agama yang diterjemah bahasa Malaysia oleh seorang pentafsir. Antara intipati penting yang disampaikan oleh beliau adalah kepentingan sesebuah institusi keluarga untuk meneruskan amalan menyampaikan tazkirah mingguan dalam keluarga masing-masing untuk menguatkan ikatan ukhuwah sesebuah keluarga. Seterusnya, beliau menyampaikan sirah-sirah Nabi Muhammad SAW sebagai memperingati keistimewaan dan kebijaksanaan Rasulullah yang perlu dijadikan pedoman seluruh umat Islam. Tidak dilupakan, sebelum mengakhiri ucapan beliau mengingatkan orang ramai untuk bersama-sama memanjangkan doa agar negara Syria diberikan keselamatan dan keamanan.

Majlis akhirnya diserikan dengan nyanyian lagu dakwah secara langsung oleh kumpulan nasyid terkemuka tanah air iaitu UNIC. Jamuan makan disediakan kepada semua tetamu di Dataran Bintang.

 

Pin It