“UKHWAH ISLAMIAH; SUATU PENILAIAN SEMULA”

“UKHWAH ISLAMIAH; SUATU PENILAIAN SEMULA”

الحمد لله القائل: يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ.وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَى شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ. آل عمران: 102، 103.وأشهد أن لا إله إلا الله ذو الفضل والإحسان، وأشهد أن محمدًا عبده ورسوله أفضل من صلى وصام، صلى الله عليه وعلى آله وصحبه الكرام، وسلم تسليمًا كثيرًا. أَمَّا بَعْدُ: فَيَا أَيُّهَا الْحَاضِرُونَ، أُوْصِيْكُمْ وَنَفْسِيْ بِتَقْوَى اللهِ، فَقَدَ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Saya mengambil peluang ini untuk menyeru diri saya dan jemaah sekalian agar meningkatkan ketaqwaan dan keimanan kita kepada Allah Azza wa Jalla dengan mentaati perintah dan menjauhi laranganNya. Khutbah Jumaat akan mengupas tajuk; “Ukhwah Islamiah; suatu penilaian semula.”

Di antara kurniaan Allah swt kepada golongan mukmin yang beriman kepada Allah swt ialah merasai nikmat persaudaraan dan ukhwah Islamiah setelah mereka bersengkata atas nama bangsa, kaum dan waliyah yang ditakluki. Sejarah menunjukkan bahawa bangsa Arab telah berperang dan berbunuh-bunuhan sesama sendiri sejak sekian lama. Namun, setelah kedatangan Islam, mereka disatukan dibawah ikatan syahadah dan melupai persengketaan yang telah meragut korban nyawa manusia yang banyak dalam sejarah yang amat panjang. Tegasnya, agama Islam telah memuliakan konsep ukhwah Islamiah dengan anugerah tertinggi melalui ikatan tali persaudaraan yang kukuh dan menyatukan umat Islam di bawah akidah yang suci dan murni.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Kalimah ukhwah dalam bahasa Arab bererti saudara kandung. Dengan kalimah tauhid dan syahadah, umat Islam dengan latar belakang sudut nasab, keturunan dan darjat yang pelbagai, tidak dibezakan kecuali dengan iman dan taqwa. Inilah mafhum dan dasar persaudaraan Islam yang perlu difahami untuk merealisasikan maslahat umum dan objektif syarak yang menjadi teras pelaksanaan syariat Islamiah.

Persaudaraan dan ukhwah berdasarkan kefahaman yang umum ialah hubungan kerabat dan hubungan darah, namun Islam telah meluaskan hubungan ukhwah dengan ikatan Ilahi (al-ribat al-ilahi) yang menjadi setiap individu mempunyai hak-hak khusus yang ditentukan oleh syarak. Dasarnya ini menjadi individu yang berkulit hitam menjadi saudara kepada individu yang berkulit putih, individu yang berbangsa Arab menjadi saudara kepada individu yang berbangsa Melayu. Berdasarkan persaudaraan ini, darah, maruah, perasaan, kebajikan saudaranya seakidah perlu dijaga oleh setiap muslim.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah swt,

Tanpa persaudaraan dan ukhwah, masyarakat Islam tidak akan dapat melaksanakan objektif syarak yang umum, mahupun khusus secara efektif dan berkesan, malah segala keistimewaan dan keunikan syariat Islamiah tidak dapat dipamerkan kepada umat manusia dengan sempurna. Menyedari hakikat ini, Rasulullah saw telah menyusun strategi untuk memperkasa persaudaraan dalam kalangan umat Islam sebaik sahaja tiba di Madinah kota bercahaya. Kota yang bukan sahaja bercahaya dengan cahaya akidah yang suci tetapi juga merupakan kota yang menyaksikan cahaya persaudaraan dan ukhwah Islamiah yang tiada tanding dan bandingannya sehingga hari ini. Di bumi Madinah, di tengah-tengah kumpulan sahabat, Rasulullah saw memegang tangan Ali bin Abi Talib ra dan mengangkatnya seraya berkata, “Inilah saudaraku di dunia dan di akhirat.”[2] Lantas Baginda saw memerintahkan semua sahabat agar berbuat demikian sebagai teladan yang perlu dicontohi oleh umatnya yang lain.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Demikian cinta yang diungkap secara lisan dan dibuktikan dengan ithar dan pengorbanan sehingga umat Islam berjaya meraih kejayaan demi kejayaan. Inilah kehebatan perpaduan yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana kekuatan maddi dan taktikal ketenteraan di atas muka bumi. Justeru, tidak hairan kenapa ukhwah Islamiah menjadi sebahagian besar objektif dan hikmah dalam semua pelaksanaan ibadah yang disyariatkan oleh Allah swt. Lihat sahaja dalam rukun Islam, menyuburkan persaudaraan dan ukhwah Islamiah merupakan sebahagian objektif yang ingin dicapai dalam pelaksanaannya. Sebagai contoh, umat Islam sangat dituntut melaksanakan solat fardu secara berjemaah dan dalam bacaan tahiyyat kita saling berdoa sesama umat Islam melalui lafaz السلام علينا وعلى عباد الله الصالحين.

Seterusnya dalam ibadah puasa, kita diajak untuk merasai secebis keperitan dan kehidupan orang yang miskin agar timbul kesedaran untuk membantu mereka. Dalam ibadah zakat pula, kita mengeluarkan sebahagian kecil rezeki yang dikurniakan oleh Allah swt untuk diberikan kepada asnaf yang sebahagian besarnya terdiri dalam kalangan umat Islam yang amat memerlukan bantuan. Akhir sekali, umat Islam disatukan di Mekah dalam ibadah haji, di hadapan Baitullah untuk membuang rasa bangga dan sombong terhadap nasab keturunan, pangkat dan darjat yang dimiliki. Tegasnya, ibadah haji adalah medan untuk mempamerkan kekuatan perpaduan umat Islam yang perlu digeruni oleh musuh-musuh Islam dan menjadi kemuncak ukhwah Islamiah yang sebenarnya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Ternyata, objektif terbesar syariat Islamiah ialah memelihara keutuhan ukhwah Islamiah sebelum beralih kepada teras pelaksanaan syariah yang lain. Hal kerana tanpa keutuhan dan perpaduan umat Islam segala objektif dan intipati syarak pasti gagal dilaksanakan secara berkesan. Pada hari ini, kefahaman umat Islam terhadap konsep ukhwah Islamiah masih kabur dan amat membimbangkan. Ukhwah Islamiah tidak lagi dilihat suatu nilai penting dalam sistem masyarakat dan negara yang perlu dipertahankan. Masing-masing dilihat cuba membawa diri dan berasa mampu hidup tanpa masyarakat, jiran tetangga dan sahabat-handai. Oleh itu, menjaga hati dan perasaan orang lain bukan suatu yang penting bagi individu seperti ini. Siapa yang terluka, siapa yang tersinggung, siapa yang menangis, siapa yang merana, siapa yang tersiksa; bukanlah kesalahan besar dan itu semua tidak pentingbagi dirinya.

Oleh sebab itu, ada pihak yang sanggup melemparkan komen negatif, penuh dengan kata-kata kesat, cacian dan sindir-menyindir di media sosial tanpa sebarang pertimbangan dan asas kewajaran sebagai seorang muslim, mukmin dan umat Islam yang bersaudara. Oleh itu, siapapun kita, menjadi tanggungjawab untuk meletakkan persaudaraan dan ukhwah Islamiah mengatasi apa jua agenda dan matlamat. Budaya menyindir, perli dan mencemuh, bukan ajaran dan didikan Islam. Rasulullah saw adalah orang yang paling banyak dizalimi, namun Baginda saw menghadiahkan musuhnya dengan kuntuman akhlak yang sangat mulia. Baginda saw adalah orang yang paling banyak menderita dalam pentas politik yang dikuasai oleh kaum musyrikin Mekah, namun tiada kata keji dan makian ketika umat Islam gagah melangkah masuk ketika pembukaan kota suci Mekah. Bahkan Nabi Musa as yang berhadapan dengan Firaun yang maha zalim, diperintahkan agar menyantuni Firaun dengan kata-kata yang lembut.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Berdasarkan kenyataan sebelum ini, Allah swt memberikan ganjaran yang sangat besar kepada muslim yang mengambil berat kebajikan saudaranya. Sidang Jumaat sekalian, besarnya sesuatu ganjaran yang diberikan oleh Allah swt menunjukkan besarnya cabaran yang terpaksa dihadapi oleh seseorang dalam melaksanakan tanggungjawab ini. Tambahan, kita terpaksa berhadapan dengan realiti semasa yang menunjukkan bahawa tahap kepedulian umat Islam terhadap tanggungjawab sesama umat Islam masih berada pada tahap yang rendah.

Media sosial mampu memberikan bukti yang jelas bahawa hubungan ukhwah sesama umat Islam sedang dilanda musibah dan ancaman yang serius. Lihat sahaja pada ruang komendi media sosial, pasti kita akan menemui komen-komen yang sangat kasar, bahkan ada pihak yang sanggup melabelkan pemimpin tertentu dengan panggilan yang sangat hina seperti syaitan, munafik dan sebagainya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Oleh sebab itu, penghayatan ukhwah Islamiah memerlukan ilmu, kefahaman dan jiwa yang besar dalam kalangan umat Islam. Ukhwah Islamiah memerlukan pengorbanan diri, harta, jiwa dan perasaan. Ukhwah Islamiah bukan tentang berapa layanan dan kemuliaan yang telah kita terima, tetapi lebih kepada berapa jumlah senyuman, bantuan dan kemuliaan yang telah diberikan. Hadirin sekalian, ukhwah Islamiah perlu mengalir dalam setiap diri dan peribadi muslim dan ia perlu dihayati dalam setiap urusan dan muamalat tanpa menilai sejauh mana kepentingan individu terbabit dalam kehidupan di dunia fana ini. Hal ini kerana setiap muslim dan mukmin mempunyai kepentingan untuk kita dalam kehidupan akhirat kelak. Oleh itu, sudah pasti ukhwah Islamiah ialah salah satu faktor penentu darjah kebesaran dan kemuliaan yang bakal kita raih di akhirat ataupun sebaliknya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Saya akhiri khutbah pada hari yang mulia ini dengan memetic beberapa firman Allah swt dan hadis Rasulullah untuk dihayati dalam masa yang singkat ini.

Firman Allah Taala:

الْأَخِلَّاءُ يَوْمَئِذٍ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ إِلَّا الْمُتَّقِينَ

Maksudnya:

Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh).[3]

Rasulullah saw bersabda:

عن أبي هريرة أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: تفتح أبواب الجنة يوم الإثنين ويوم الخميس فيغفر لكل عبدٍ لا يشرك بالله شيئاً إلا رجل كانت بينه وبين أخيه شحناء فيقال انظروا هذين حتى يصطلحا أنظروا هذين حتى يصطلحا

Maksudnya:

Daripada Abu Hurairah ra, bahawa Rasulullah saw bersabda, pintu syurga dibuka setiap Isnin dan Khamis, dan diampunkan dosa setiap hamba tidak mensyirikkan Allah kecuali lelaki yang bergaduh dengan saudaranya, lalu dikatakan, tangguhkan (pengampunan dosa) bagi kedua-dua mereka sehingga mereka berdamai semula.”[4]

Ulama menyimpulkan bahawa persahabatan dapat dibahagikan kepada tiga darjat. Pertama, persahabatan yang dibina kerana dunia. Persahabatan ini akan hilang bila hilangnya dunia dan sebabnya. Kedua, persahabatan yang terjalin dalam urusan maksiat, persahabatan ini akan bertukar menjadi persengketaan yang amat dahsyat di akhirat kelak. Ketiga, persahabatan yang bertunas kerana dunia dan akhirat, ia akan kekal abadi di dunia dan di akhirat.[5] Semoga ukhwah Islamiah yang disatukan oleh Allah swt tidak dirungkai dengan akhlak yang buruk, perselisahan dalam terjadi dalam perkara furu’ dan remeh-temeh. Sepatutnya, asam garam dan warna kehidupan ini sudah memadai untuk mematangkan pemikiran dan tindakan kita sebagai ummah yang terbaik.

Hari ini, dalam kelemahan yang membelenggu umat Islam. Tanpa kekuatan politik antarabangsa dan dilihat sangat lemah di tanahair sendiri, entah apa lagi yang tinggal untuk mempertahankan syair dan kedaulatan Islam jika ikatan ukhwah Islamiah yang selama ini menjadi tunjang kekuatan bangsa dan ummah hilang dan lenyap begitu sahaja.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْءَانِ الْعَظِيْمِ، وَنَفَعَنِيْ وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلأَيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ اللهُ مِنِّيْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هٰذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.

Teks oleh:

Ustaz Nazrul Hassan

Ketua Penolong Pengarah Pusat Islam USM


 

[2]           Hadis daif menurut Syuib al-Arnaut dan Albani. Hadis riwayat Hakim dan al-Tarmizi.

[3]               Surah al-Zukhruf, 67

[4]               HR Bukhari dan Muslim

[5]               Faisal ‘Abdul Aziz, Tatriz Riyadu al-Salahin, Riyad; Dar al-‘Asimah, j. 1, h. 435.

Pin It