MENANGKIS FAHAMAN ISLAM LIBERAL

Terdapat dua fenomena utama yang mempengaruhi psikologi umat Islam. Pertama, fenomena penjajahan barat ke atas negara-negara Islam merangkumi penjajahan dalam bentuk pemikiran, penjajahan ekonomi, budaya dan sebagainya. Kedua, fenomena kemunduran dan ketinggalan umat Islam dalam bidang teknologi dan kemajuan masa kini. Akibat dua fenomena ini, umat Islam secara umumnya terbahagi kepada 4 kumpulan.Kumpulan pertama adalah mereka yang putus asa secara menyeluruh dan menerima hakikat bahawa umat Islam sememangnya lemah dan tidak akan mampu menyaingi barat untuk selama-lamanya. Maka hiduplah mereka ibarat melukut di tepi gantang, adanya tidak menambah, tiadanya tidak mengurang. Mereka menumpang di penjuru dunia tanpa mengganggu sesiapa dan tidak mahu sesiapapun mengganggu mereka.

Kumpulan kedua adalah mereka yang mengambil kesimpulan bahawa agama adalah faktor penghalang utama bagi mengejar kemajuan barat dan agama mesti dipisahkan daripada kehidupan harian jika berhajat untuk standing dengan kemajuan barat. Kumpulan ini lebih dikenali sebagai golongan yang berfahaman sekularisme. Golongan ini cuba mengasingkan agama dari kehidupan mereka dan memenjarakan agama di masjid-masjid dan di institusi-institusi agama.

Kumpulan ketiga adalah mereka yang juga menganggap agama sebagai halangan tetapi berpendapat penyelesaiannya adalah dengan membuka dan membebaskan agama daripada tafsiran lama yang dikatakan jumud dan tidak menjadi pemangkin kepada kemajuan Umat. Golongan inilah yang dikenali sebagaigolongan MuslimLiberal yang dipelopori oleh golongan cendiakawan dan intelek yang merasa mereka terlajak pandai dengan kehebatan pemikiran mereka yang dirasakan terlalu hebat. Mereka tidak mahu memisahkan diri dengan agama, namun menggunakan agama sebagai alat pelindung terhadap kekacauan pemikiran mereka. Mereka amat memerlukan agama tetapi agama sekadar dijadikan kosmetik untuk mencapai kepentingan dunia dan mereka menganggap merekalah pejuang agama yang sebenarnya.

Manakala kumpulan keempat adalah mereka yang mengakui kelemahan dan kemunduran umat Islam tetapi tidak pernah menyalahkan agama terhadap kemunduran tersebut. Mereka memuhasabah diri mereka sendiri dan menyalahkan kelekaan mereka dalam memahami ajaran Islam serta kegagalan mempraktikkan Islam dalam kehidupan mereka. Golongan terakhir inilah sebenarnya yang dapat diharapkan untuk mengembalikan kegemilangan Islam sepenuhnya.

         Artikel ini tidak akan membincangkan kumpulan yang pertama, kedua dan keempat tetapi hanya akan menumpukan perbincangan kepada kumpulan yang ketiga. Hal ini kerana kumpulan ini terlalu berbahaya kepada kesucian ajaran Islam dan umat seluruhnya. Walaupun kumpulan ini tidak menamakan kumpulan mereka secara jelas tetapi manhaj dan pendirian mereka sama sahaja dan amat mudah dikenali. Antara pendirian mereka bahawa Islam adalah agama yang benar, namun dalam waktu yang sama agama selain Islam juga benar. Mereka mengatakan bahawa apabila seseorang mendakwa hanya tuhannya dan ajaran agamanya sahaja yang betul, maka dakwaan tersebut adalah bersifat relatif dan terhad dalam konteks agamanya sahaja. Hakikat sebenar kebenaran tiada sesiapapun yang mengetahuinya dan manusia tidak perlu membuang masa dan membazirkan usaha untuk membenarkan dan mengagongkan agama mereka sahaja.

Kumpulan Muslim Liberal ini juga membahagikan wahyu kepada dua; iaitu wahyu secara bertulis (al-Quran) dan wahyu tidak bertulis (Akal Manusia). Mereka mengatakan bahawa akallah yang sebenarnya yang menghidupkan Teks Al-Quran berdasarkan tujuan, konteks dan suasana semasa. Oleh itu al-Quran dikatakan hanya bersifat menerangkan tujuan-tujuan agama manakala akal manusialah yang sebenarnya bertanggungjawab menyesuaikan al-Quran dengan kehendak kontemporari. Sebagai contohnya ayat-ayat tentang hukum jenayah Islam dikatakan hanya bertujuan menjatuhkan hukuman kepada penjenayah sedangkan bentuk hukuman seharusnya ditentukan oleh akal manusia selaras dengan peradaban dan ketamadunan manusia. Mereka bermaksud membuka dan membebaskan tafsiran al-Quran daripada tafsiran silam yang muktabar untuk memajukan umat manusia. Malah mereka menyindir ulama’ yang berpegang kuat kepada tafsiran muktabar dan disiplin ilmu yang ketat sebagai ‘penyembah’ teks al-Quran semata-mata. Pemikiran ini jika dibiarkan akan menjerumuskan mereka kepada takwilan tersendiri terhadap al-Quran yang amat menyimpang sehingga ada yang mengatakan bahawa syaitan dan malaikat hakikatnya tidak wujud melainkan sikap buruk dan sikap baik yang saling bertentangan dalam jiwa manusia. Syurga dan neraka juga dikatakan sebagai kesan psikologi kegembiraan, kepuasan dan kekecewaan manusia dalam kehidupan. Cerita-cerita ghaib dan alam akhirat dianggap semata-mata rekaan ulama’ sebagai strategi menambahkan keberkesanan dakwah.

Golongan liberal juga mengatakan disiplin ilmu Islam seperti Usul Fiqh, Mustalah Hadis dan sebagainya adalah buatan ulama’ yang tidak sunyi daripada kecacatan. Segala hukum yang dinyatakan oleh ulama’ semuanya adalah bersifat ijtihadi dan boleh diterima atau ditolak. Penetapan sesuatu hadis samada mutawatir, sahih atau dhaif juga adalah pandangan ulama’ yang boleh ditolak dan dipertikaikan. Malah, mereka mempunyai kaedah usul fiqh tersendiri iaitu yang penting adalah tujuan hukum disyariatkan bukan hukum atau syariat itu sendiri. Maka lahirlah hukum-hukum pelik seperti hak dan tanggungjawab yang sama antara lelaki dan perempuan, arak tidak haram jika tidak memabukkan, aurat wanita perlu disesuaikan dengan zaman, azab kubur adalah sesuatu yang tidak masuk akal dan berbagai-bagai lagi hukum yang tidak pernah dijangkakan akan dilemparkan kepada masyarakat.

Golongan liberal ini tetap ada di mana-mana sahaja dan bila-bila masa sahaja. Walaupun nama dan identiti mereka berbeza, namun manhaj dan pembawaan mereka sama sahaja. Kesemua mereka mendapat didikan dari barat atau pernah berkhidmat dalam mana-mana institusi di barat. Negara-negara Timur Tengah menyaksikan lahirnya golongan ini yang sebahagiannya ada yang ditarik balik kelulusan dan ijazah mereka oleh universiti asal pengajian mereka. Maka apakah jaminan bahawa golongan ini tidak akan wujud dan berkembang di negara kita yang tercinta ini?!. Bersamalah kita mengawasinya dan berjuang mempertahankan ajaran Islam yang tulen dan tidak memberikan sebarang ruang kepada golongan sesat seperti ini untuk menimbulkan keraguan terhadap agama I. 

Inilah yang berlaku terhadap kita yang masih berada dalam lingkungan zon selesa, masih bermaharajakan hiburan yang melampau, meninggalkan masjid-masjid sunyi sepi sedangkan stadium bolasepak dan panggung wayang penuh sesak. Justeru, umat Islam wajib bangkit dengan ilmu dan wajib beramal dengan tuntutan Allah swt serta perlu segera kembali mempertahankan kedaulatan Islam.

Teks: Mohd Zamrus Mohd Ali

Adaptasi oleh Nazrul Hassan daripada khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Zamrus Mohd Ali al-Hafiz, Imam Besar Masjid al-Malik Khalid, Pusat Islam USM

Pin It