BERFESYEN MENURUT SYARAK

Secara umumnya, manusia sentiasa sibuk memajukan diri dan tidak pernah berhenti mengejar arus kemodenan dalam bidang sains dan teknologi. Perkara ini memberikan kesan dan impak yang mendalam terhadap corak pemikiran, pemahaman, pemakaian, agama, budaya dan gaya hidup. Dunia fesyen juga turut menerima tempias arus kemodenan dan kemajuan dunia yang menuntut manusia konon-kononnya perlu tampil selari dengan ruh kemodenan yang berlaku masa kini.

Sememangnya, sebagai umat Islam, kita dituntut untuk sentiasa memajukan diri supaya tidak ketinggalan dan terus diperlekehkan oleh pihak lain. Bagaimanapun, dalam mengejar angin perubahan ini, ramai di antara kita terlupa dan melanggar batasan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Ramai umat Islam, khususnya dalam kalangan wanita Islam tidak menyedari bahawa fesyen pakaian yang diperagakan sebahagiannya bertentangan dengan ajaran Islam yang mewajibkan umatnya menjaga aurat dengan sempurna.

Mutakhir ini, pegangan sebahagian umat Islam dilihat semakin longgar apabila terdapat dalam kalangan suami dan ibu bapa sengaja membiarkan isteri dan anak-anak mereka mendedahkan aurat. Perkara ini amat dikhautiri dan menakutkan sekiranya hadis di bawah dapat difahami dengan baik oleh umat Islam.

Diriwayatkan oleh Muslim bahawa Nabi SAW bersabda:  

“Dua jenis manusia yang akan menjadi ahli neraka, yang mana aku tidak sempat melihat mereka, (kerana tidak ada pada zamanku. Mereka ini akan lahir pada akhir zaman). Yang pertama kata Nabi SAW ialah golongan yang memegang alat sebatan seperti ekor lembu yang digunakan untuk memukul manusia (melakukan kezaliman). Dan golongan kedua kata Nabi SAW adalah kalangan perempuan berpakaian tetapi bertelanjang, pakaian yang menggodakan, pakaian yang nipis, pakaian yang ketat; diatas kepala mereka dihias. Rambutnya laksana bonggol unta. Mereka tidak dapat masuk ke syurga, bahkan tidak dapat menghidu dan mencium keharumannya, walaupun baunya syurga itu dapat dihidu dari jauh.”

Terdapat juga wanita Islam yang mendakwa mereka menutup aurat, namun mereka sebenarnya menipu diri sendiri? Keadaan ini boleh dilihat apabila ramai wanita memakai pakaian yang menutup aurat tetapi dalam masa yang sama, pakaian berkenaan terlalu ketat hingga menampakkan bentuk dan susuk tubuh. Selain itu, ada pula yang hanya menutup aurat pada waktu-waktu tertentu sebagai penghormatan dan memenuhi keperluan adat. Sebagai contoh, pada hari Jumaat, ketika menghadiri majlis keagamaan dan menziarahi jenazah. Namun, pada waktu lain mereka kembali memakai pakaian yang mendedahkan aurat tanpa segan silu seolah-olah kewajiban menutup aurat ada tempoh masa dan hari tertentu sahaja.

Ingatlah dengan firman Allah SWT dalam Surah al-Tahrim, ayat 6.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلائِكَةٌ غِلاظٌ شِدَادٌ لا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ.

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan anggota keluarga kamu daripada neraka, yang mana umpan dan bahan bakar api neraka itu adalah terdiri daripada kalangan manusia dan batu berhala, neraka itu dikawal oleh malaikat yang keras dan kasar layanannya, mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala apa yang diperintahkan.”

Berdasarkan ayat ini, Allah SWT mewajibkan setiap hamba-Nya menjaga diri serta seisi keluarganya supaya tidak melanggar perintah Allah SWT dan tidak tergelincir daripada batasan sempadan antara kebaikan dan kejahatan. Oleh itu, umat Islam diseru supaya tidak terjebak dalam perkara mungkar yang akhirnya membinasakan diri sendiri.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’, ayat 7.

إِنْ أَحْسَنْتُمْ أَحْسَنْتُمْ لأنْفُسِكُمْ وَإِنْ أَسَأْتُمْ فَلَهَا فَإِذَا جَاءَ وَعْدُ الآخِرَةِ لِيَسُوءُوا وُجُوهَكُمْ وَلِيَدْخُلُوا الْمَسْجِدَ كَمَا دَخَلُوهُ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَلِيُتَبِّرُوا مَا عَلَوْا تَتْبِيرًا.

“Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu, dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesan buruknya) berbalik kepada diri kamu juga.”

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلالا مُبِينًا

“Dan tidaklah wajar bagi orang-orang yang beriman di antara lelaki dan perempuan, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan (peraturan) mengenai sesuatu perkara – (mereka tidak) mempunyai hak untuk memilih untuk membuat ketetapan (berdasarkan keputusan mereka sendiri) mengenai urusan mereka; dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia sesat dengan kesesatan yang nyata.”

Sebagai hamba Allah SWT yang lemah dan pastinya tidak mampu menahan azab siksaan-Nya yang amat pedih, maka sewajarnya kita memandang berat isu pendedahan aurat dan memastikan kita serta ahli keluarga sentiasa mematuhi etika pemakaian yang digariskan oleh syarak. Marilah kita meneguhkan rasa takut pada azab Allah SWT kerana semua amalan yang kita lakukan akan dihitung di akhirat walaupun saiznya sebesar zarah. Kesimpulannya, Islam tidak menghalang umatnya untuk berfesyen sesuai dengan gaya hidup masa kini, namun ia hendaklah mematuhi kehendak syarak yang bertujuan menjaga kemuliaan insan, khusus dalam kalangan wanita.  

Teks: Mohd Razin Rosely

Disunting oleh: Nazrul Hassan

Artikel ini disunting daripada Teks Khutbah Jumaat yang dikarang dan sampaikan oleh Ustaz Mohd Razin Rosely, Bilal Masjid al-Malik Khalid, Pusat Islam USM

Pin It