MENJIWAI DAN MENTERJEMAHKAN MASJID DALAM KEHIDUPAN

Menurut bahasa Arab, perkataan masjid berasal daripada kata sajada-yasjudu-sujudan yang bererti patuh; taat; tunduk dengan penuh hormat. Meletakkan dahi, kedua tapak tangan, lutut, dan kaki ke bumi, atau bersujud adalah bentuk lahiriyah yang paling zahir dari makna tersebut. Itulah sebabnya mengapa bangunan yang dikhususkan untuk solat dinamakan masjid, “tempat bersujud”. Hakikatnya masjid menjadi tempat untuk melakukan segala aktiviti yang berpaksikan kepatuhan kepada Allah swt. Al-Quran menegaskan:

وَأَنَّ ٱلۡمَسَـٰجِدَ لِلَّهِ فَلَا تَدۡعُواْ مَعَ ٱللَّهِ أَحَدً۬ا

Sesungguhnya masjid-masjid itu adalah milik Allah, maka janganlah kamu menyembah sesuatu didalamnya selain Allah.”

Surah al-Jinn: 18

Jabir bin Abdillah ra meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad saw bersabda:

أُعْطِيتُ خَمْسًا لَمْ يُعْطَهُنَّ أَحَدٌ قَبْلِي نُصِرْتُ بِالرُّعْبِ مَسِيرَةَ شَهْرٍ وَجُعِلَتْ لِي الْأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا فَأَيُّمَا رَجُلٍ مِنْ أُمَّتِي أَدْرَكَتْهُ الصَّلَاةُ فَلْيُصَلِّ وَأُحِلَّتْ لِي الْمَغَانِمُ وَلَمْ تَحِلَّ لِأَحَدٍ قَبْلِي وَأُعْطِيتُ الشَّفَاعَةَ وَكَانَ النَّبِيُّ يُبْعَثُ إِلَى قَوْمِهِ خَاصَّةً وَبُعِثْتُ إِلَى النَّاسِ عَامَّةً

"Aku diberikan lima perkara yang tidak diberikan kepada orang sebelumku; aku ditolong melawan musuhku dengan ketakutan mereka sejauh satu bulan perjalanan, dijadikan bumi untukku sebagai tempat sujud dan suci lagi mensucikan. Maka dimana saja salah seorang dari umatku mendapati waktu shalat hendaklah ia shalat, dihalalkan untukku harta rampasan perang yang tidak pernah dihalalkan untuk orang sebelumku, aku diberikan (hak) syafa'at, dan para Nabi sebelumku diutus khusus untuk kaumnya sedangkan aku diutus untuk seluruh manusia." (Bukhari, Muslim, Nasa’i)

Masjid bukan sekadar tempat sujud dan tempat penyucian, malah merupakan simbolik kepada muslim dalam menterjemahkan sikap dan adab semasa berada di masjid dan ketika berada di mana sahaja.   

Sesetengah pihak hanya membayangkan masjid sebagai suatu binaan yang cukup indah tersergam dengan hamparan permaidani yang berkualiti, berhawa dingin-sesuai tempat berehat dan melelapkan mata seminit dua. Ada juga pihak yang menganggap masjid sebagai lambang kemegahan dengan ciri senibina terkini yang berbeza daripada dengan rekabentuk binaan yang lain.  Walhal, penghayatan taqwa yang menjadi matlamat utama pembinaan masjid tersasar jauh dan tidak difahami dengan sempurna. Siapakah yang perlu sedar dan menghayati masjid sebagai medan menggilap taqwa ini? Adakah pengerusi masjid atau jawatankuasa  qaryah semata-mata?

Masjid Nabawi yang terletak di Kota Suci Madinah al-Munawwarah menjadi contoh terbaik selain Masjidil Haram di kota Makkah al-Mukarramah. Tingkah laku masyarakat Islam di Madinah jelas berbeza dengan tempat-tempat lain. Hal ini disedari oleh kebanyakan daripada kita yang pernah ke sana. Dengan ketertiban sewaktu berbicara menggunakan bahasa yang halus, ketika berniaga mementingkan senyuman dan tutur kata, semasa memandu kenderaan dengan memberi laluan kepada pejalan kaki dan banyak lagi yang merupakan pancaran akhlak lantaran menjiwai masjid sebagai medan menjana akhlak Islami. Semuanya adalah kesan kepada kelompok jemaah yang bersatu padu atas seruan Allahu Akbar dan menterjemahkan nilainya ke dalam persekitaran, seolah-olah inilah Taman Qurani yang damai dengan rahmat Allah swt.  

Rasulullah SAW telah berjaya menggambarkan kesempurnaan dan keindahan Islam sebagai al-Din (cara hidup) melalui fungsi-fungsi komprehensif yang tersurat dan tersirat dari institusi masjid. Perkara ini jelas menunjukkan bahawa masjid bukan sahaja tempat untuk melakukan solat, bahkan setiap dari kita harus menyedari bahawa masjid mempunyai peranan yang lebih global-merentasi sempadan kemulian bangsa, ketaksuban budaya, pangkat dan kedudukan.  Kejayaan memasjidkan masyarakat dan membawa kemuliaan masjid dalam kehidupan berupaya menyebarkan Islam melalui dakwah bil Hal (teladan) kepada masyarakat Islam dan bukan Islam di luar sana.

Kesedaran ini mestilah datangnya dari lubuk hati yang didasari dengan ilmu dan iman. Adalah kurang tepat menyalahkan pengisian masjid yang hambar dan tidak sehebat rancangan realiti dalam televisyen sebagai punca orang ramai tidak berminat ke mengunjungi masjid. Ada juga pihak yang mengaitkan faktor tidak selesa semasa menjalani ibadah sebagai punca punca orang tidak minat ke masjid. Dakwaan dan tuduhan seumpama ini menggambarkan dangkalnya kesedaran diri untuk menjiwai masjid sebagai medan taqwa, kurangnya ilmu tentang sejarah pembinaan masjid pada zaman awal Islam yang serba kekurangan, seterusnya menggambarkan sikap dan keperibadian yang lebih banyak memberikan alasan tanpa mencari penjelasan.

Firman Allah swt:

لَّمَسۡجِدٌ أُسِّسَ عَلَى ٱلتَّقۡوَىٰ مِنۡ أَوَّلِ يَوۡمٍ أَحَقُّ أَن تَقُومَ فِيهِ‌ۚ فِيهِ رِجَالٌ۬ يُحِبُّونَ أَن يَتَطَهَّرُواْ‌ۚ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلۡمُطَّهِّرِينَ

“Sungguhnya masjid yang dibinakan di atas dasar taqwa, sejak hari pertama (kamu berada di Madinah) adalah lebih wajar kamu bersembahyang di dalamnya. Di dalamnya ada orang-orang yang suka membersihkan diri, sedang Allah rnenyukai orang-orang yang bersih.” [Al-Taubah: 108]

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW sabdanya yang bermaksud: “…dan tidak berhimpun suatu kaum dalam satu tempat rumah dari tempat-tempat (yakni) rumah-rumah Allah (yang dikhaskan untuk mencapai keredhaan) Allah dengan keadaan mereka membaca Kitabullah (Al-Quran) dan mereka bertadarus sesama mereka, melainkan turunlah ketenteraman kepada mereka dan mereka pula diliputi oleh rahmat, juga mereka dikelilingi oleh malaikat serta mereka dipuji oleh Allah Ta’ala dalam kalangan makhluk-makhluk yang mulia pada sisi-Nya dan sesiapa yang dilambatkan oleh amal usahanya (dari mencapai kebaikan), tidak akan dapat disegerakannya oleh nasab keturunannya”. (HR Muslim, Abu Daud dan al-Tirmizi)

Teks: Mohd Zamrus Mohd Ali

Disunting oleh: Nazrul Hassan

Artikel ini disunting daripada Teks Khutbah Jumaat yang dikarang dan sampaikan oleh Ustaz Mohd Zamrus Mohd Ali, Penolong Pengarah Kanan Pusat Islam USM merangkap Imam Besar Masjid al-Malik Khalid. 

Pin It