PILIHAN DI TANGAN KITA

Pada umumnya, semua manusia mempercayai kewujudan syurga dan neraka. Istilah syurga dan neraka juga sering dijadikan tajuk dan tema beberapa filem, drama dan lagu. Di antara lirik lagu yang popular ialah kutunggumu di pintu syurga. Syurga merupakan tempat impian setiap manusia kerana keindahannya yang sangat menakjubkan sehingga gagal dibayangkan oleh imaginasi dan fikiran manusia. Sebaliknya, neraka pula menjadi tempat yang sangat menakutkan kerana dipenuhi dengan azab siksaan yang mengerikan.

Di dunia ini, terdapat banyak tempat indah yang sesuai untuk dilawati dan dikunjungi. Bagi yang tidak mampu pergi ke sana, melihat gambarnya sahaja sudah cukup menghibur dan menenangkan perasaan. Gambar-gambar pemandangan yang cantik sering menjadi pilihan untuk menghiasi ruang tamu, pejabat dan kediaman rasmi. Ini semua adalah bukti betapa manusia amat menyukai keindahan dan kecantikan. Oleh itu, gambar atau imej yang buruk, jijik, kotor dan menakutkan bukanlah pilihan manusia yang berakal waras.

Tegasnya, sehebat manapun keindahan dunia, pasti tidak mampu menandingi keindahan syurga yang cipta khas oleh Allah swt untuk hambaNya yang beriman. Oleh itu, keindahan dunia hanya untuk mengajak manusia berfikir tentang kebesaran tuhan dan berusaha untuk memasuki syurga yang abadi.

Kita semua bersetuju bahawa penjara ialah merupakan tempat yang paling ngeri dan menakutkan di dunia ini. Ia bukan sahaja tempat mengurung orang yang dihukum kerana membuat kesalahan, malah turut dijadikan tempat menyeksa golongan yang menegakkan kebenaran dan keadilan.Sejarah Tamadun Andalusia, membuktikan bahawa penjara juga digunakan untuk menyiksa tahanan dengan pelbagai kaedah dan bentuk siksaan. Firaun juga diriwayatkan pernah mengancam untuk memenjarakan Nabi Musa as jika masih mendakwa ada tuhan selainnya. Menurut al-Qurtubi, penjara Firaun lebih menggerikan daripada pembunuhan, apabila dia memenjarakan seseorang, maka ia tidak akan keluar kecuali selepas mati.

Dalam bahasa Arab, penjara disebut sebagai sijnun dan lafaz ini disebut sebanyak enam kali di dalam al-Quran, semuanya dalam Surah Yusuf.  Berdasarkan kenyataan ini, neraka ialah seburuk-buruk tempat di akhirat dan merupakan penjara bagi manusia yang kufur dan ingkar terhadap Allah swt.

Carilah tamadun dan pemimpin yang paling zalim di atas muka bumi, lihatlah kaedah dan bentuk siksaannya, namun semua itu tidak dapat menandingi siksaan neraka Allah swt di akhirat kelak. Di dunia, orang yang disiksa akan mati dan berakhirlah penderitaannya, namun di neraka Allah swt orang yang disiksa tidak akan mati dan akan terus disiksa untuk tempoh tertentu, bahkan ada yang kekal disiksa untuk selama-lamanya.

Firman Allah swt dalam Surah al-Dukhan, ayat 44-49 menjelaskan salah satu bentuk siksaan dan layanan buruk yang bakal diterima oleh ahli neraka.

 

“(Ingatlah), sesungguhnya pokok Zaqqum, - (Buahnya) menjadi makanan bagi penghuni neraka. Buah ini sangat panas seperti panasnya tembaga yang cair. Ia mendidih di dalam perut seperti mendidihnya air yang meluap-luap kepanasannya. (Lalu diperintahkan kepada malaikat yang menjaga neraka): "Seret orang yang berdosa itu ke tengah-tengah neraka. “Kemudian curahkanlah di atas kepalanya - azab seksa - daripada air panas yang menggelegak". (Ketika dia menanggung siksa yang pedih, muncul pula suara yang mengejeknya, "Rasailah azab seksa ini, sebenarnya engkau adalah orang yang berpengaruh dan terhormat (dalam kalangan masyarakatmu) ketika hidup di dunia suatu ketika dahulu.”

Di dunia, kita menggunakan fitrah, naluri dan akal untuk memilih yang terbaik untuk diri kita dan insan yang disayangi. Kita memilih wanita yang terbaik sebagai isteri, kita inginkan pangkat dan kedudukan yang tinggi, dan kita juga bercuti di tempat yang paling menarik. Oleh itu, sebagaimana kita diberikan pilihan di dunia dan kita telahpun dan sedang menggunakan peluang itu, maka Allah swt juga memberikan kita pilihan untuk memilih antara yang terbaik dan terburuk di akhirat kelak. Oleh itu, gunakanlah peluang ini sekarang dengan sebaik-baiknya.  

Di dunia, keinginan dan kepuasan dibataskan dengan harta dan wang ringgit, namun di akhirat semuanya boleh diperolehi hanya dengan sebuah ketaatan dan kepatuhan kepada Allah swt. Manusia yang terbaik di dunia dari segi pelajaran, kekayaan dan kedudukan tidak semesti terbaik di akhirat jika gagal dalam misi ketaatan sebagai seorang hamba dan manusia. Yang termiskin di dunia boleh jadi yang terbaik di akhirat jika unggul ibadah dan kualiti kehambaannya. Oleh itu, dalam hayat yang pendek ini, bahagiakanlah orang lain, muliakan diri dengan memaafkan kesalahan insan, jadilah manusia yang memahami dan menyayangi, jadilah staf dan kakitangan yang merasakan dirinya penting walau sekadar melayan daun yang gugur atau menyambut suara panggilan yang tidak dikenali. Hargailah orang yang berada di bawah pimpinanmu dan bersikap adillah terhadap mereka kerana kegembiraan mereka adalah suatu doa dan pencapaian yang terbaik untuk seorang pemimpin.

Teks oleh: Nazrul Hassan

  

 
Pin It