INILAH CARA KAMI MERINDUI RASULULLAH SAW

Bulan Rabiulawal sekali lagi menjemput seluruh umat Islam untuk memperingati bulan kelahiran Nabi Muhammad saw. Kecintaan terhadap susuk seorang Rasul dan Nabi yang tidak pernah dilihat oleh mata sepatutnya menyuburkan kerinduan dan menyatupadukan umat Islam di seluruh dunia, namun sebaliknya membakar api sengketa antara umat Islam tatkala membahaskan hukum menyambut kelahiran Rasulullah saw. Jelasnya masih terdapat kekeliruan antara mengingati dan menyambut hari kelahiran Rasulullah saw.

Allah swt sentiasa mendorong hamba-hambaNya agar mengingati Rasulullah saw dengan berselawat ke atas Baginda saw. Ertinya, bila rindu pada Rasulullah saw maka berselawatlah atasnya. Dalam erti kata lain, selami kehidupannya dan ikutilah jejaknya dalam kehidupan anda. Pastinya, seluruh umat Islam mengingati Nabi Muhammad saw dalam setiap detik dan hembus nafas. Ternyata, bulan Rabiulawal menyaksikan kemuncak kecintaan terhadap Rasulullah saw yang diterjemahkan melalui pelbagai acara dan program seperti berselawat, ceramah, tazkirah, nasyid, forum dan sebagainya.

Islam tidak melarang kita mengingati sesuatu yang baik dan memotivasikan diri untuk maju dan cemerlang dalam kehidupan. Justeru, tidak ada insan yang selayaknya untuk diingati dan diteladani berbanding peribadi Nabi Muhammad saw yang menjadi inspirasi bagi setiap insan yang inginkan kemuliaan. Bulan Rabiulawal adalah bulan yang sesuai untuk mengisi ingatan kita terhadap Baginda saw dengan mendengar sirah kehidupannya yang dibincangkan dalam pelbagai program dan acara. Tegasnya, berdasarkan amalan masyarakat Islam di Malaysia, program dan acara yang dianjurkan sempena bulan kelahiran lebih kepada usaha menyuburkan rasa kecintaan terhadap Rasulullah saw melalui perbincangan pelbagai topik kehidupan Baginda saw secara menyeluruh. Saat di mana kita berkongsi kegembiraan dengan kelahirannya dan bangga menjadi umatnya serta ingin sekali melihat wajahnya. 

Mengingati seseorang adalah fitrah, pengisian fitrah ini lebih bermakna dan mulia apabila kita mengingati insan yang memberikan cahaya buat dunia yang pernah gelap suatu ketika dahulu. Beginilah cara kami mengingati Nabi Muhammad saw di Malaysia; Rabiulawal dan selama-lamanya. Ya Allah, izinkan kami menatap wajahnya di syurga nanti setelah kami tidak melihatnya di dunia ini.

Teks :  Nazrul Hassan

Pin It